Sunday 25 November 2012

Tokoh Ulama Kelantan ( Tok Guru Nik Aziz Nik Mat )

Anda nilai sendiri melalui cebisan perjalanan hidup beliau..



Anak kedua dari perkahwinan Tok Guru Haji Nik Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) dengan isteri pertama ini dilahirkan pada tahun 1931 dan diberi nama Nik Abdul Aziz. Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka ini membesar dalam suasana keluarga dan rumahtangga yang sederhana dan mengecapi zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.

Negeri Kelantan terkenal dengan keprihatinan warganegerinya yang mementingkan didikan Islam bagi setiap anak-anaknya. Hal ini agak ketara berbeza dengan warganegeri lain. Ini adalah disebabkan latarbelakang sejarahnya yang menyaksikan banyak tumbuh pusat-pusat pengajian pondok terutamanya. Sebagaimana anak-anak lain yang diberi didikan agama sejak awal oleh ibubapa masing-masing, maka Nik Abdul Aziz juga tidak terkecuali. Bahkan kedudukan beliau agak istimewa kerana pendidik awalnya ialah ayahnya sendiri yang sangat mengutamakan asuhan dan didikan agama bagi anak-anaknya.

Jadual wajib setiap malam mereka adik beradik ialah mengaji Al-Quran. Dalam masa yang tidak lama, beliau didapati memiliki tahap kecerdasan yang tinggi dalam menangkap dan memahami setiap pelajaran. Hingga dapat menandingi teman-teman sepengajiannya bahkan dari kalangan yang lebih tua usianya. Kemudian diberi kepercayaan untuk mengantikan tempat ayahnya mengajar kanak-kanak lain membaca ayat-ayat lazim (Muqaddam).

Pada umur enam tahun, beliau dihantar untuk berlajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat untuk mempelajari asas membaca dan menulis. Pulang dari sekolah, kanak-kanak ini tidak begitu terpaut hati untuk banyak bermain-main dengan rakan-rakannya. Sebaliknya beliau lebih gemar mengisi masa petangnya untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat sebarang kerjarumah yang ditugaskan oleh guru. Sesekali beliau turun ke tanah untuk bermain layang-layang dan gasing yang menjadi sebahagian hobi zaman kanak-kanaknya. Di sekolah ini, beliau adalah pelajar pertama yang memakai seluar panjang kerana Tuan Guru Haji Nik Mat Alim sangat tidak suka melihat kanak-kanak lelaki berseluar pendek. Walau bagaimana pun, persekolahan di Sekolah Kebangsaan itu tidak lama kerana setelah beberapa bulan, beliau berhenti atas kesedaran ayahnya yang menyedari kecenderungan anaknya itu dalam pengajian Islam.

Lalu beliau dihantar menuntut ilmu di Kubang Kerian berguru pada Tok Kenali. Di pusat pengajian pondok ini, beliau menunjukkan minat yang begitu mendalam sehingga cepat menghafal beberapa kitab-kitab matan dan membaca kitab-kitab berbahasa Arab. Menjelang usia remaja, Nik Abdul Aziz di hantar pula ke Besut, untuk belajar di Pondok Tuan Guru Haji Abbas. Di sini beliau sudah mula menguasai beberapa ilmu untuk amalan seharian. Bila sekali-sekala pulang ke kampungnya, beliau kadang-kadang mengantikan ayahnya menjadi iman dalam sembahyang dan mengajar Al-Quran.

Sekitar tahun 1952, beliau belayar ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Deoband. Selama lima tahun di sana, beliau sempat berguru dengan seorang ulama hadith dan tarekat iaitu Maulana Husain Ahmad al-Madani. Kemudian pada tahun 1957, beliau menyeberang sempadan masuk ke Pakistan belajar di Lahore melanjutkan pengajian dalam bidang Tafsir Al-Quran.

Kecenderungan yang begitu mendalam dalam menuntut ilmu agama, telah membawa beliau belajar lebih jauh. Kali ini belayar lagi dan kemudian turun untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir. Di Universiti Al-Azhar anak muda yang berusia sekitar 30 tahun ini mengambil jurusan Bahasa Arab lantaran minatnya yang begitu mendalam. Di sini beliau meningkatkan penguasaannya dalam ilmu-ilmu Bahasa Arab seperti balaghah, syair dan segala bentuk puisi Arab. Hingga akhirnya pemuda ini memperolehi Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

Setelah itu Nik Abdul Aziz meneruskan pengajian dalam bidang Perundangan Islam (Syari'ah). Jurusan ini ternyata lebih mencabar. Beliau lebih banyak duduk bertekun membaca dan mutala'ah al-Umm (Imam as-Syafi'ie), Fath ul-Baari (Ibn Hajar al-Haitami), al-Iqna' dan beberapa kitab-kitab yang berjilid-jilid. Berkat ketekunan dan kesungguhan, beliau lulus dan mendapat Ijazah Sarjana Perundangan Islam di universiti tertua di dunia ini.

Dan sehingga hari ini...

0 comments:

Post a Comment