Lambakan telefon pintar kini semakin menguasai pasaran dan rata-rata pengguna kini boleh berbangga dengan telefon pintar mereka kerana fungsinya yang menyenangkan dan mampu menyelesaikan pelbagai perkara.

Namun sering kali mereka terlupa sebelum kemunculan telefon pintar, tablet dan Android, terdapat beberapa telefon yang terlebih dulu pernah menjadi kegilaan semua.
* Banyak mengatakan iPhone perintis kepada telefon pintar dengan skrin sentuh. Tetapi adakah anda tahu sebelum kemunculan iPhone, terdapat telefon yang menjadi perintis kepada telefon skrin sesentuh, iaitu IBM Simon. Ia adalah telefon pintar pertama dunia menggunakan skrin sentuh sepenuhnya. IBM Simon pertama kali diperkenalkan pada tahun 1992.


IBM Simon ini memiliki kemampuan sebuah telefon, PDA, pager serta mesin faksimili. Juga terdapat aplikasi sederhana, seperti mesin kira, kalendar, buku telefon dan alamat serta jam dunia.

Ia mempunyai skrin yang boleh dikendalikan menggunakan tangan atau pen khas. Memanglah dari segi rekaannya tidak setanding telefon pintar skrin sentuh sekarang namun ia masih lagi menjadi kebanggaan kerana dihasilkan pada tahun 90an ketika ramai warga Malaysia masih tertanya-tanya apakah itu telefon bimbit.

* Penghujung tahun 90an dan awal tahun 2000, Nokia mengungguli pasaran telefon bimbit dunia dan menjadi jenama telefon yang wajib dimiliki. Tidak hairanlah Nokia 1100 menjadi telefon bimbit paling laris di dunia dan masih mengungguli carta jualan tertinggi telefon bimbit.

Jika iPhone 4S terjual 70 juta unit dan Samsung Galaxy S III sekitar 40 juta unit ketika ini, Nokia 1100 terjual 250 juta unit seluruh dunia.
Apa yang membuat telefon sederhana ini begitu laris? Terdapat beberapa fakta menarik perihal Nokia 1100. Ia dikatakan menjadi telefon paling dicari di Jerman sehingga kini. Bahkan, disebabkan ramai mencarinya menyebabkan harga pasaran telefon ini semakin meningkat. Ia juga mempunyai fungsi unik seperti lampu suluh di bahagian atas telefon.

Walaupun tidak terang namun masih berguna ketika kecemasan. Malah menurut beberapa kaji selidik, fungsi ini sangat disukai pemiliknya.

Nokia juga berhasil menjual telefonnya yang ke 1 bilion unit pada tahun 2005 di Nigeria dan telefon itu adalah Nokia 1100.

Nokia 1100 memerlukan tempoh enam tahun untuk memperoleh penjualan sebesar 250 juta unit, iaitu antara tahun 2003 hingga tahun 2009. Jadi, setiap tahun Nokia 1100 rata-rata terjual sebanyak lebih dari 40 juta unit.