Tuesday 1 January 2013

Lebih RM300 Ribu Menaja Perkahwinan Apex-Leuniey



Penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) semalam mengumumkan tarikh nikahnya. Sementara gadis pilihan hatinya, Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey) berada di Kelantan dan MD difahamkan Leuniey tidak dapat hadir sama kerana sedang menjalani kursus kahwin.Apex yang muncul sejam lewat di sidang media berkenaan tanpa ditemani bakal isteri memberitahu, dengan terjawabnya teka-teka mengenai tarikh perkahwinan mereka, dia berharap fokusnya kini boleh diberikan sepenuhnya kepada karier. Malahan lebih penting dia mahu menumpukan kepada perlawanan di antara skuad Kebangsaan menentang Singapura bagi merebut Piala AFF Suzuki yang berlangsung di stadium Bukit Jalil, pada Ahad (25 November) ini.

Pada majlis pengumuman itu juga turut diumumkan perkahwinan pasangan ini menerima tajaan daripada pelbagai pihak. Sekali gus menjadikan jumlah nilai tajaan yang diterima mereka mencecah lebih dari RM300 ribu. Bahkan MD difahamkan itu baru sebahagian saja dan ada beberapa lagi tambahan pihak penaja, kelak.

Mengenai persiapan perkahwinan, Apex berkata segalanya diserahkan kepada pengurus, keluarganya dan pihak Leuniey. Setakat ini segala persiapan berjalan lancar.

Dalam pada itu mendedahkan pada bulan Oktober lalu, dia menghantar rombongan untuk melamar Leuniey. Tiada apa-apa majlis khas diadakan, sebaliknya kedua-dua belah keluarga berjumpa dan menikmati makan malam bersama-sama.

Apex dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik penyanyi terkenal, Dato' Siti Nurhaliza.

Mengulas tentang tarikh yang dipilih untuk mereka di ijab kabul iaitu pada 28 Disember ini, jejaka berusia 23 tahun itu menjelaskan tarikh tersebut tidak membawa apa-apa maksud istimewa.

"Jodoh itu rahsia Allah. Jodoh saya dah sampai dan saya hanya ikut gerak hati saya. Kematangan Leuniey serta sikapnya yang memahami membuatkan saya terpikat padanya. Dan saya juga yakin selepas berkahwin nanti dia tetap akan memahami kerjaya saya.

"Walaupun perkenalan saya dan Leuniey singkat tapi saya yakin dia adalah pilihan tepat. Dan tak salah kalau benda baik (berkahwin) dipercepatkan", katanya.

Mengulas mengenai apakah perkahwinan ni memadamkan segala kontroversi yang pernah menghimpitnya sehingga dia mendapat gelaran selebriti bola sepak yang cukup 'panas', bagi Apex, dia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Tetapi yang pasti dia sudah bersedia untuk memikul tanggujawab sebagai ketua keluarga dan berani berdepan dengan apa jua cabaran yang mendatang.

Selepas majlis akad nikah, sebanyak tiga majlis resepsi akan diadakan. Persandingan sebelah perempuan bakal berlangsung di hotel Renaissance, Kota Bahru Kelantan pada 30 Disember berkonsepkan Melayu kotemporari.

Manakala persandingan sebelah pihak lelaki akan dilaksanakan di kediaman Apex iaitu di Kampung Chenang Kota Bahru, Kelantan bermula jam 1 tengah hari dengan bertemakan ala kampung.

Serta sebuah majlis resepsi pula akan diadakan di Hotel Royal Bintang, Damansara pada 13 Januari 2013 bermula jam 8 malam dengan memilih konsep English style.

Selain kenalan serta saudara mara kedua belah pihak, antara selebriti yang diundang pada majlis persandingan mereka nanti ialah penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk K juga penyanyi Adibah Noor.

Ditanya mengenai destinasi bulan madu, Apex menjawab, kemungkinan mereka tidak akan berbulan madu sejurus usai majlis perkahwinan memandangkan dia sibuk dengan kerjaya. Bagaimanapun Apex berjanji tetap akan mencari masa untuk membawa Leuniey menikmati bulan madu mereka nanti dan antara destinasinya ke Korea atau Switzerland.

0 comments:

Post a Comment